ISU-ISU SEMASA

 

PENGAJIAN AM

 

 

 

Isu-isu semasa yang dikemukakan dalam laman ini portal ini adalah untuk rujukan sahaja. Isu yang dikemukakan adalah untuk tujuan pembelajaran sahaja dan bukan dengan niat untuk mengkritik atau menghina mana – mana pihak.

 

 

 

LARAS SASTERA

 

Bahagian ini mengemukakan isu-isu semasa yang berkaitan dengan :-

 

1.                  Kemasyarakatan

2.                  Sosial

3.                  Ekonomi

4.                  Politik

5.                  Bahasa

6.                  Budaya

7.                  Pendidikan

8.                  Kemalangan

9.                  Teknologi maklumat dan komunikasi

10.              Kesenian dan Warisan

11.              Hubungan serantau dan antarabangsa

 

LARAS SAINS

 

Bahagian ini mengemukakan isu-isu semasa yang berkaitan dengan :-

 

1.                  Sains dan Teknologi

2.                  Pemakanan

3.                  Kejuruteraan

4.                  Alam sekitar dan Pencemaran

5.                  Bioteknologi

6.                  Perubatan dan penyakit

7.                  Teknologi maklumat dan komunikasi

 

 

 

 

LARAS SASTERA

 

1.         MASALAH SOSIAL REMAJA

 

Kebelakangan ini banyak isu yang berkaitan dengan masalah sosial di kalangan remaja diperkatakan. Pelbagai hujah dan andaian diutarakan oleh banyak pihak apabila memperkatakan masalah sosial di kalangan remaja. Secara umumnya masalah sosial  berkaitan dengan  perlakuan  negatif remaja yang tidak membawa sapa-apa keuntungan kepada pembangunan ekonomi dan nilai masyarakat yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.

 

Punca Masalah Sosial Remaja.

 

1.                  Masalah Keluarga.

·        Kemerosotan ,kecuaian atau kelalaian ibu bapa dalam memberi  asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan terhadap anak-anak menyebabkan anak-anak kurang menghormati orang tua dan bebas melakukan pelbagai aktiviti mengikut selera masing-masing seperti terlibat dalam lumba haram dan rempit.

·        Tekanan  hidup menyebabkan ibu bapa bekerja lebih masa, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain yang keterlaluan menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Ibu bapa dan anak jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa. Bagi anak yang terabai itu, mereka tiada arah dan akhirnya berkawan dengan golongan yang terbabit dengan pelakuan antisosial seperti Mat Rempit, Minah Rempit dan penyalahgunaan dadah.

·        Sikap ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan  wang saku  yang banyak.Anak-anak  mewah untuk berbelanja sehingga terlibat dalam penagihan dadah.

·        Institusi kekeluargaan yang tidak teratur dan stabil, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram dan  penceraian ibu bapa menyebabkan remaja hilang arah dan kepercayaan kepada ibu bapa. Berlakulah kes remaja lari dari rumah dan terlibat dengan kes penyalahgunaan dadah.

2.                  Pengaruh persekitaran

·        Media massa juga sentiasa membentuk perilaku  para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan  melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut  dengan pengaruh ini.Filem – filem yang ditayangkan terus menjadi salah satu punca keruntuhan moral di kalangan remaja. Filem-filem tersebut mempunyai unsur - unsur ganas, seks dan aksi yang kurang bermoral.

·        Buku-buku picisan dan lucah yang berada di pasaran juga mempengaruhi tindak tanduk dan peri laku remaja. Penggunaann ayat-ayat lucah dan grafik yang menghairahkan boleh meninggalkan kesan yang mendalam terhadap pemikiran pembacanya.

·        Budaya gangsterisme telah berjaya menarik pelajar sekolah melakukan aktiviti seperti ponteng sekolah, kaki pukul, peras ugut, melawan guru, vandalisme, merokok, bertindak samseng, kelucahan secara lisan mahu pun perbuatan, kelakuan sumbang, gangguan seksual, hubungan seksual, penagihan dadah dan merogol.

 

Cara Mengatasi Masalah

Perbincangan  mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja  ini. Berikut beberapa saranan:

1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa   hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.

2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik  seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan  pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa  dalam pengawasan disiplin.

4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.

5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut. 

6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.

Kesimpulan

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.

kembali ke Laman Utama